• 2025-07-16 08:19 PM

JOHOR BAHRU: Polis menahan empat lelaki berusia antara 28 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di Jeti Ayer Baloi, Pontian.

Kejadian dilaporkan berlaku pada petang semalam selepas pihak berkuasa menerima maklumat sekitar jam 5.37 petang.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supt Mohammad Shofee Tayib, menjelaskan pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada pencerobohan kawasan ternakan kerang.

“Kita menahan kedua-dua pihak iaitu pemilik kerang dan penceroboh kerana terlibat dalam pergaduhan berkumpulan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam apa jua situasi dan segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 (rusuhan) dan Seksyen 325 (menyebabkan kecederaan parah) Kanun Keseksaan. – Bernama