• 2025-07-31 04:49 PM

KUANTAN: Enam anggota polis direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Khamisah Ismail selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.

Menurut sumber, kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan kira-kira 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Temerloh.

“Kejadian dipercayai bermula apabila semua suspek menahan lima individu dalam operasi di sekitar Temerloh, Mei lepas kerana disyaki memiliki air ketum.

“Seorang daripada suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu yang bertindak sebagai orang tengah,“ katanya.

Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Bernama