KOTA KINABALU: Semua penggerak jentera parti dan termasuk fasilitator perlu giat memainkan peranan untuk menjelaskan kepada rakyat perjuangan dan pembangunan yang dibawa kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata jentera hadapan parti itu akan memikul tanggungjawab penting sebagai barisan hadapan bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tidak sampai dua tahun lagi, kita akan meminta mandat semula daripada rakyat. Justeru apa yang penting kita menjelaskan perjuangan dan pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan GRS sepanjang tempoh pemerintahan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebagai satu pasukan, kita perlu bekerjasama. Saya meminta kepada semua penggerak jentera parti dan fasilitator, apabila turun padang, jelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai pembangunan demi memenuhi mandat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan diedarkan hari ini sempena Majlis Santai Bersama Peserta (Fasilitator) Bersempena Kursus (ToT) Pemantapan Kepimpinan Gagasan Rakyat yang diadakan di sini baru-baru ini.

Hajiji pada November tahun lepas dilihat memberikan bayangan PRN Sabah diawalkan, namun pada bulan lepas beliau memberitahu kerajaan negeri masa ini masih mempunyai masa sehingga September 2025 sebelum penggal pentadbirannya tamat.

Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri membawa pembangunan itu, Hajiji berkata pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dibawa oleh kerajaan negeri telah berada di landasan yang betul.

“Menerusi agenda SMJ ini, kita telah memperkenalkan dasar mesra pelabur dengan membawa lebih ramai pelabur untuk melabur ke negeri ini, bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri mengadakan persidangan antarabangsa selain menjemput pelabur luar dan tempatan datang melihat peluang yang ada di Sabah.

Menurutnya, semua usaha ini dilakukan untuk merancakkan ekonomi, memberi peluang pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di negeri tersebut.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image