KUALA LUMPUR: Sebanyak 14,834 kompaun telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap premis perniagaan yang melanggar syarat, termasuk pemindahan lesen dan permit kepada warga asing secara haram sejak 2023.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, seramai 2,880 premis turut disita manakala 23 lesen perniagaan dibatalkan akibat kesalahan tersebut.
“Perlu ditegaskan, kementerian dan PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta, dan pasar,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menekankan bahawa PBT juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja pembantu di bawah lesen penjaja. Ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan peluang perniagaan kekal untuk rakyat tempatan.
Operasi penguatkuasaan dan pemantauan terus dilaksanakan oleh PBT, termasuk pemantauan berkala di kawasan tumpuan warga asing serta pembatalan lesen bagi pemegang yang menyalahgunakan permit.
Menjawab soalan tambahan mengenai penggunaan proksi warganegara Malaysia, Nga menggesa rakyat agar bertanggungjawab dan mematuhi prinsip Rukun Negara. “Jika ada bukti kukuh, kami sedia menerima maklumat untuk tindakan lanjut,“ tegasnya - Bernama