KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak lima sen iaitu masing-masing kepada RM3.42 dan RM3.18 seliter bermula esok hingga 4 Sept ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan kadar itu adalah selaras dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit minyak dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, harga runcit petrol RON95 kekal pada RM2.05 manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada RM2.15 seliter.

MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.