KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon Harith Iskander Musa dan isterinya Dr Jezamine Lim hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini selepas melayari bahtera perkahwinan selama 14 tahun.

Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Jezamine selaku plaintif berkata Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali mengesahkan perceraian itu pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.

“Hakim syarie mengesahkan lafaz cerai dan mahkamah benarkan suami (Harith Iskander) melafazkan cerai itu pada 12.05 tengah hari dengan talak satu.

“Selain itu permohonan nafkah anak juga telah diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak,” kata peguam syarie itu ketika ditemui selepas prosiding.

Pada 8 Julai lepas Dr Jezamine, 41, memfailkan permohonan cerai terhadap Harith Iskander, 58, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka sudah tiada persefahaman.

Akberdin berkata berhubung isu hadanah (hak penjagaan anak), mahkamah telah menetapkan 31 Julai untuk pengurusan kes.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Harith Iskander yang ditemani bekas isterinya itu berkata beliau dan Dr Jezamine masih berkawan baik demi anak-anak mereka.

“Sememangnya saya sedih (perceraian) tetapi secara peribadi kami berdua bersetuju dengan perceraian ini dan akan “move forward” bukan untuk diri kami sendiri, tetapi untuk anak-anak.

“Selepas ini kami akan meneruskan pekerjaan seperti biasa kerana mempunyai beberapa syarikat bersama,” kata pengacara televisyen itu, yang pernah memenangi pertandingan ‘The Funniest Person in the World’ di Finland pada Disember 2016.

Pasangan itu yang berkahwin pada 12 Jun 2010 dikurniakan tiga anak iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11 dan Zydane Zayne, 9.