PETALING JAYA: Ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autistik yang ditemukan maut akibat dibunuh, beredar meninggalkan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini selepas selesai urusan pembayaran ikat jamin.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dilihat keluar dari Kompleks itu dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih kira-kira pukul 12.47 tengah hari bersama beberapa anggota keluarga.

Pasangan itu hanya berdiam diri dan tidak memberi sebarang respond kepada pengamal media yang merakam detik berkenaan susulan perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah, dan Ismanira kelihatan melambai tangan dan sempat melemparkan senyuman kepada orang ramai ketika beredar menuju ke kenderaan.

Terdahulu hari ini ibu bapa Zayn Rayyan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun berkenaan dencan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember lepas.

Mahkamah kemudiannya memutuskan masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.

Pada 6 Dis lepas mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya, dan susulan hasil bedah siasat pada hari berikutnya polis mengklasifikasikan kematian kanak-kanak itu sebagai kes bunuh.