• 2025-07-31 10:33 AM

KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia, mencerminkan ketidaktentuan berhubung dasar perdagangan global terutamanya kesan tarif Amerika Syarikat (AS).

Menerusi World Economic Outlook edisi Julai 2025, IMF menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK kepada 4.5 peratus bagi 2025, meningkat 0.4 mata peratusan daripada anggaran April.

Badan kewangan antarabangsa itu juga menaikkan unjuran bagi 2026 sebanyak 0.2 mata kepada 4.0 peratus, dipacu oleh prospek yang bertambah baik dalam kalangan ekonomi membangun dan sedang pesat membangun.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata semakan menaik itu menggambarkan bagaimana perubahan dinamik perdagangan terus mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia.

“Semakan ini menunjukkan tahap ketidaktentuan berkaitan dasar tarif AS. Kerajaan AS juga terbuka untuk perbincangan lanjut yang berkemungkinan membawa kepada pengurangan kadar tarif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata aktiviti perdagangan lebih awal oleh pengimport AS pada awal tahun ini mungkin menyumbang kepada pertumbuhan global antara Januari hingga Julai, sekali gus menyokong momentum ekonomi Malaysia pada separuh pertama 2025.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan menjangkakan syarikat akan menangguhkan perbelanjaan modal sehingga mendapat kejelasan lebih lanjut mengenai dasar perdagangan antarabangsa.

“Walaupun terdapat ketidaktentuan berterusan terhadap tarif perdagangan AS serta ketegangan geopolitik yang meningkat, kami menjangka kesan kejutan rantaian perdagangan terhadap KDNK hanya akan muncul dalam tempoh beberapa bulan kemudian, iaitu antara 12 hingga 15 bulan.

“Unjuran ini dibuat berdasarkan andaian tiada campur tangan luar. Bagaimanapun, kebiasaannya kerajaan dan syarikat akan bertindak balas bagi meredakan keadaan ekonomi yang kurang menggalakkan ini,” katanya sambil menambah semakan IMF itu sejajar dengan unjuran firma tersebut pada Mei 2025.

Mohd Sedek berkata pendekatan UOB itu mencerminkan perubahan tingkah laku dalam kalangan syarikat dan penggubal dasar yang dijangka bermula pada 2026 selari dengan pelarasan strategi jangka sederhana.

Dalam konteks ini, beliau percaya kalangan syarikat dan penggubal dasar akan melaksanakan pelan mitigasi dan pelarasan semula strategi bagi menangani tekanan struktur yang berpunca daripada peningkatan tarif perdagangan.

“Pelarasan ini dijangka membentuk trajektori pertumbuhan sederhana dan corak peruntukan modal merentasi sektor utama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank Firdaos Rosli menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 sekitar 3.8 peratus, sedikit rendah berbanding unjuran Bank Negara Malaysia iaitu antara 4.0 hingga 4.8 peratus dan unjuran IMF sebanyak 4.5 peratus.

Namun beliau berpandangan ekonomi Malaysia masih berpotensi untuk mendapat manfaat sekiranya keadaan luaran bertambah baik.

“Sebarang pelonggaran halangan perdagangan dan bukan tarif oleh AS akan memberi manfaat kepada prospek eksport Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, prestasi perdagangan negara mungkin terjejas disebabkan pertumbuhan perlahan di pasaran utama seperti China dan Kesatuan Eropah, selain permintaan lemah terhadap eksport bukan semikonduktor pada separuh kedua tahun ini, kata beliau.

Firdaos menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi separuh pertama 2025 sekitar 4.45 peratus.

“Jika unjuran IMF tepat, pertumbuhan separuh kedua 2025 berkemungkinan sekitar 4.5 peratus,” katanya.

Dari segi domestik, Firdaos berkata penggunaan swasta dijangka kekal kukuh, disokong oleh kadar inflasi yang rendah, pasaran buruh yang stabil dan pelbagai inisiatif dasar kerajaan.

“Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, pelarasan gaji penjawat awam, semakan semula gaji minimum serta inisiatif sokongan pendapatan dijangka merangsang permintaan dalam negara,” katanya sambil menjangkakan kadar inflasi kekal di bawah dua peratus.

Laporan IMF itu yang bertajuk “Global Economy: Tenuous Resilience amid Persistent Uncertainty” turut menjangkakan pasaran pesat membangun dan ekonomi membangun mencatat pertumbuhan 4.1 peratus pada 2025 dan 4.0 peratus pada 2026 - BERNAMA