KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur berjaya menyelamatkan 14 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks dalam satu operasi di Jalan Petaling.
Serbuan itu dijalankan hasil maklumat risikan menggunakan panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0).
Menurut Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, mangsa berusia antara 18 hingga 36 tahun terdiri daripada 10 warga Bangladesh, tiga India, dan seorang Indonesia.
Beberapa mangsa mendakwa mereka dijual oleh teman lelaki sebelum dieksploitasi untuk kegiatan pelacuran.
“Ketika serbuan, beberapa pelanggan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota operasi,“ katanya.
Premis terbabit dipercayai beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam dan menerima pelanggan secara walk-in.
Tiga lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Selain itu, 16 pelanggan lelaki turut ditahan, terdiri daripada sembilan warga Nepal, dua Bangladesh, dan lima Myanmar. Setiap pelanggan dikenakan bayaran sekitar RM60 untuk mendapatkan perkhidmatan pelacuran. - Bernama