PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan 22 lelaki warga asing atas pelbagai kesalahan dalam tiga serbuan dijalankan di kilang kitar semula sekitar Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini berkata mereka terdiri daripada 18 warga India dan empat warga Bangladesh, berusia 23 hingga 48 tahun.

Beliau berkata semakan awal mendapati 12 warga India memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku, tiga warga India dan dua warga Bangladesh memiliki PLKS yang tamat tempoh, manakala dua warga India memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang tamat tempoh.

“Baki yang lain pula tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria semua warga asing itu ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut atas kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959 dan Akta Imigresen 1963, Akta Paspot 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Selain itu lima lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga India turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya turut menyita lesen premis yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), dokumen syarikat, sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia, rekod perniagaan, 17 pasport India, dua pasport Bangladesh serta buku kehadiran pekerja.

Zakaria berkata modus operandi kilang itu ialah memproses barang lusuh terdiri daripada peralatan elektronik, kabel, wayar yang diperoleh daripada pelbagai negara bagi mendapatkan tembaga serta aluminium.

“Kilang ini disyaki menggaji warga asing dengan bayaran RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan menyediakan tempat tinggal dalam kilang yang gagal diperakui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM),” katanya menambah kes turut disiasat JTKSM di bawah Akta Standard Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1960 (Akta 446).