KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan dua sindiket yang disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen dan urusan haram Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui dua operasi berasingan di ibu negara baru-baru ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan operasi pertama dijalankan di sebuah premis pejabat di Jalan Pudu, membawa kepada penahanan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 40 hingga 50 tahun. Sindiket yang dikenali sebagai ‘Zakeer’ ini dipercayai menawarkan perkhidmatan pembaharuan PLKS kepada warga asing dengan bayaran antara RM2,500 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan.
“Tiga lelaki yang ditahan memiliki PLKS sektor pembinaan yang masih sah, dan sindiket ini telah beroperasi selama setahun,“ jelas Zakaria. Operasi itu turut merampas 130 pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia, dan tiga telefon bimbit.
Dalam operasi kedua di sekitar Ampang Baru, tiga lagi individu dari sindiket ‘Shaheed’ ditahan, termasuk dua warga Pakistan dan seorang warga Myanmar. Mereka disyaki berperanan sebagai orang tengah dengan mengenakan caj antara RM80 hingga RM500 bagi setiap urusan PLKS.
“Seorang daripada lelaki Pakistan memiliki PLKS sektor pembersihan, seorang lagi tinggal lebih masa, manakala lelaki Myanmar memiliki kad pelarian UNHCR,“ kata Zakaria. Rampasan termasuk pasport dari beberapa negara, 24 pelekat Malaysia Pass (Malpass) yang disyaki palsu, serta lima telefon bimbit.
Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, manakala seorang lagi warga Bangladesh diberikan notis untuk hadir membantu siasatan. - Bernama