PUTRAJAYA: Cadangan untuk mewujudkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) bertujuan mendapatkan gambaran mengenai tabiat membaca, jenis bahan bacaan yang diminati dan frekuensi membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata IMK juga dapat membantu pihak berkaitan merancang strategi dan program yang berkesan untuk meningkatkan budaya membaca dalam masyarakat.

Beliau berkata IMK adalah satu cadangan inisiatif yang perlu diwujudkan untuk mengukur pencapaian pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan dan Dasar Galakan Membaca.

“Ketika ini, IMK dalam proses perancangan dan memerlukan penelitian bagi memastikan indeks yang dihasilkan mampu memberikan gambaran menyeluruh dan tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aaron berkata penggunaan IMK mampu meningkatkan tahap literasi dan minat membaca yang akan menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah melaksanakan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia sebagai indikator dalam menilai tahap membaca rakyat Malaysia dan asas pengukuran negara maju.

Hasil kajian itu penting untuk memberi maklum balas terhadap kadar pembacaan rakyat Malaysia pada masa sekarang, agar ia seimbang dengan kadar literasi iaitu 97 peratus mengikut standard Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Keperluan IMK termasuk meningkatkan literasi dengan mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian untuk meningkatkan kemahiran membaca dan merancang program literasi yang lebih efektif.

Selain itu, ia juga menggalakkan masyarakat untuk membaca melalui kempen dan inisiatif yang berfokus kepada meningkatkan akses bahan bacaan, menilai keberkesanan program literasi dan membaca yang telah dilaksanakan.

Ia akan memberikan panduan kepada pembuat dasar untuk merumuskan strategi yang sesuai bagi meningkatkan tahap literasi.

Open Two Websites with Image

Clickable Image