TEHRAN: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bertitah Riyadh percaya rejim Israel sedang berusaha memperdalam konflik dengan Iran dalam cubaan untuk menyeret Amerika Syarikat (AS) ke dalam peperangan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Dalam perbualan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Sabtu, Putera Mahkota menyatakan keyakinan bahawa Iran akan bertindak secara bijaksana dan menggagalkan matlamat Tel Aviv.
“Hari ini, seluruh dunia Islam bersatu menyokong anda,” titah Mohammed bin Salman kepada presiden itu.
Pezeshkian berkata beliau berusaha untuk memperkukuh keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini sejak hari pertama pentadbirannya, namun Israel sentiasa cuba menggagalkan usahanya setiap kali hampir mencapai kejayaan.
Beliau turut menyuarakan harapan agar Iran dan Arab Saudi dapat bekerjasama mewujudkan ketenangan di rantau ini.
Serangan rejim Israel ke wilayah Iran bermula pada malam Jumaat, menyasarkan sistem pertahanan udara serta kemudahan tenaga nuklear dalam gelombang serangan pertama.
Beberapa pegawai kanan tentera Iran turut menjadi sasaran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio segera mengumumkan bahawa Amerika Syarikat tidak terlibat dalam serangan itu.
Iran melancarkan serangan balas ke dalam wilayah diduduki Israel, termasuk Tel Aviv dan Baitulmuqaddis.
Terbaharu, ibu pejabat Kementerian Pertahanan Iran di Tehran menjadi sasaran rejim Zionis awal pagi Ahad.