• 2025-08-04 09:24 AM

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 1,489 saman bernilai RM445,800 menerusi Ops Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura dari 1 Julai hingga Sabtu lepas.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 14,379 kenderaan Singapura diperiksa di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Setakat ini, 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan disaman kerana tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.

Antara alasan diberikan ialah menyangka kerajaan masih dalam fasa advokasi,“ katanya dalam sidang media selepas operasi di BSI, Bukit Chagar.

Beliau menambah, hampir 90% kenderaan Singapura persendirian telah memiliki VEP dengan tag RFID berfungsi.

Sehingga 31 Julai, 277,930 tag RFID telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan,“ tegasnya.

Penguatkuasaan VEP membawa risiko kompaun RM300 bagi kenderaan tanpa permit, menurut Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama