• 2023-10-20 06:19 PM

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan memperluas kerjasama dengan Universiti Presidency di India, bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

JPPKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ketua Pengarah JPPKK Dr Mohd Zahari Ismail, telah membincangkan perkara itu dengan Naib Canselor Universiti Presidency Dr D. Subhakar, ketika menghadiri Asian Summit on Education & Skills (ASES) 2023 di Bengaluru, India dari 19 hingga 21 Okt.

Kenyataan itu memaklumkan, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam aspek pertukaran pelajar, penyelidikan, bahasa dan budaya, serta kerjasama industri.

“Presidency University telah mempunyai hubungan erat dengan beberapa buah universiti awam dan swasta di negara kita, dan kini ke arah memperluas kerjasama dengan pihak politeknik dan kolej komuniti, terutamanya dalam bidang teknologi digital,” kata Mohd Zahari dalam kenyataan itu.

Kenyataan JPPKK itu memaklumkan ASES ialah persidangan yang menghimpunkan menteri dan pegawai kanan dalam sektor pendidikan dan kemahiran dari seluruh dunia, dan Mohd Zahari mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ke sidang kemuncak itu.

Kenyataan itu memaklumkan pelbagai isu dibincangkan termasuk keciciran pelajar, kos pengajian, kebolehpasaran dan gaji.

Delegasi Malaysia turut disertai Pengarah Bahagian Koordinasi TVET JPPKK Dr Norhayati Ibrahim dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Tinggi Noorfazlina Mohd Shahid.-Bernama