KUCHING: Seorang wakil syarikat pembaikan kapal di Miri mengalami kerugian sebanyak RM117,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan tender palsu bekalan bateri kapal.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, laporan diterima pada Isnin lepas selepas mangsa, lelaki berusia 30-an, sedar dirinya ditipu.
“Mangsa menerima panggilan daripada individu bernama ‘Balan’ menggunakan nombor telefon 019-2768381, menawarkan peluang untuk syarikat mangsa menjadi pembekal bateri kapal. Tanpa curiga, mangsa melakukan empat transaksi berjumlah RM117,000 ke akaun yang diberikan,“ katanya.
Mangsa baru sedar ditipu apabila syarikat perkapalan di Johor mengesahkan mereka tidak pernah membuat tempahan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan, dengan hukuman penjara 1 hingga 10 tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan- Bernama