MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun masih tidak sedarkan diri di Hospital Melaka selepas kejadian hampir lemas di kolam renang sebuah pangsapuri di Taman Kota Laksamana semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit memaklumkan mangsa yang berasal dari Masai, Johor sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital tersebut.
“Kira-kira 11.20 pagi semalam, polis menerima panggilan memaklumkan seorang kanak-kanak nyaris lemas di kolam renang di pangsapuri itu. Apabila tiba di tempat kejadian, pengawal keselamatan memaklumkan mangsa telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Melaka,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu tiba di kolam renang pada pukul 9.30 pagi bersama keluarganya sebelum warisnya menyedari kehilangannya.
“Waris mangsa kemudian mencarinya di sekitar kolam renang terbabit dan mendapati beberapa orang awam telah mengeluarkan mangsa dari kolam itu, seterusnya dibawa ke Hospital Melaka,“ jelas Christopher. - Bernama