• 2025-09-14 03:15 PM

PUTRAJAYA: Beberapa kawasan di Kuala Lumpur telah dikenal pasti untuk pelaksanaan repurpose atau penggunaan semula adaptif dengan meningkatkan fungsi menggunakan konsep Baukultur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan pendekatan ini akan memastikan nilai seni bina dan warisan tetap terpelihara sambil menambah baik fungsi kawasan terlibat.

Beliau turut memaklumkan Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya dipilih sebagai kawasan untuk dilaksanakan repurpose berikutan lawatan kerjanya ke Itali.

“Astaka Morocco merupakan bukti pengembangan budaya Andalusia ke Nusantara,“ katanya menerusi hantaran Facebook.

Dr Zaliha menambah astaka tersebut kekal menjadi simbol diplomasi budaya dan seni bina Islam bernilai tinggi setelah lebih 22 tahun.

Baukultur merupakan falsafah pembangunan yang mengekalkan roh budaya dalam seni bina sambil menambah baik fungsi agar terus relevan.

Melalui konsep ini, bangunan dan ruang tidak hanya dibina untuk kegunaan tetapi juga bagi mengekalkan identiti serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat. – Bernama