KUALA TERENGGANU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengenal pasti sekolah sukan di seluruh negara yang bakal menerima bantuan bagi memperkasa pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa dilakukan untuk menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah sukan.
Beliau menyatakan bahawa kerjasama erat akan diwujudkan terutama di sekolah sukan lain selepas ini.
“Contohnya, Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berkongsi fasiliti dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan aset di bawah Perbadanan Stadium Malaysia.
“Kita bersedia untuk melihat keperluan yang boleh diisi di peringkat KBS,” katanya selepas melepaskan peserta Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Buruk.
Adam Adli menegaskan bahawa sekolah sukan berada di bawah bidang kuasa KPM, namun KBS tetap memberi perhatian kepada pembangunan atlet di institusi tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa KBS mempunyai Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang menyemak tanggungjawab antara KBS dan KPM berkaitan sekolah sukan.
“JKPS boleh dijadikan platform untuk berbincang dan menyelaras perkara berkaitan.
“Setakat ini, kita sentiasa bekerjasama erat dengan KPM,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan kerajaan akan memberi perhatian kepada keperluan kemudahan di sekolah sukan.
Anwar berkata perbincangan telah diadakan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi memastikan bantuan disegerakan. - Bernama