• 2025-08-02 05:49 PM

KERIAN: Usaha memadamkan kebakaran belukar seluas 23.47 hektar di Kampung Tersusun Tebuk Panchor, Gunung Semanggol dijangka selesai sepenuhnya esok. Operasi pemadaman kini memasuki hari ketiga dengan keadaan lebih terkawal berbanding sebelumnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata pemantauan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api tersembunyi. “Kalau tidak ada punca api yang naik lagi, kita sudah yakin api padam keseluruhannya. Kemungkinan kita boleh tutup operasi pemadaman esok, tetapi ia bergantung pada hasil pemantauan petang ini,“ katanya.

Ketika ini, hanya dua kawasan masih menunjukkan kepulan asap. Operasi hari ini melibatkan kira-kira 40 anggota bomba dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela dari Lembah Beriah dan Alor Pongsu, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sayani turut berkongsi cabaran yang dihadapi pasukan penyelamat, termasuk cuaca panas dan medan berbukit. “Anggota perlu membawa gelung hos dan peralatan berat ke atas bukit setinggi 500 kaki secara manual. Mereka perlu bertindak pantas bagi mengelakkan kebakaran merebak,“ jelasnya.

Kebakaran yang bermula pada 3 petang Khamis lalu dikaitkan dengan cuaca panas berpanjangan. Kejadian terakhir di kawasan sama berlaku pada 2023. - Bernama