KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski menyifatkan kem latihan pasukan sebelum aksi Kelayakan Piala Asia AFC 2027 menentang Vietnam sebagai satu kem yang ‘unik’, sekali gus menekankan kepentingan membentuk semangat berpasukan dan keserasian dalam kalangan pemain.
Bercakap selepas persembahan cemerlang Harimau Malaya pada perlawanan kedua Kumpulan F yang berkesudahan menang 4-0 ke atas Vietnam malam tadi, Cklamovski mengakui kem latihan itu mempunyai pendekatan luar biasa, terutama selepas ramai pemain tidak beraksi pada perlawanan kompetitif sejak saingan Liga Super menutup tirainya.
“Kem ini agak mencabar, boleh dikatakan satu kem yang unik. Majoriti pemain dalam fasa rehat selepas tamat musim Liga Super. Kami bertemu lawan yang kuat seperti Cape Verde dan seperti yang anda tahu, satu lagi persembahan pasukan yang baik.
“...dan ia berterusan ke fasa akhir apabila kami menerima beberapa muka baharu yang menunjukkan komitmen membentuk semangat berpasukan yang sedang kami bina, juga budaya latihan yang kami bentuk. Anda boleh lihat kualiti yang semakin meningkat dalam pasukan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Bercakap mengenai percaturan pemain, Cklamovski menegaskan kepentingan memiliki skuad yang seimbang dan versatil, bukan bergantung sepenuhnya kepada barisan pemain utama yang tetap.
“Kami membuat pertukaran pemain dan mahu meningkatkan tahap permainan serta memberikan impak dari bangku simpanan. Namun, seperti yang anda tahu, kami tidak bergantung pada kesebelasan utama semata-mata. Kami adalah satu ‘Pasukan A’, dan itulah mentaliti yang sedang kami bentuk, dan ia meningkat dengan baik. Mentaliti dalam pasukan ini sangat kuat dan kami akan terus membinanya demi persembahan berpasukan,” katanya.
Pada perlawanan malam tadi, Malaysia menamatkan kemarau sebelas tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam hasil jaringan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools.