• 2025-08-03 04:35 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan terus mengutamakan kebajikan warga tani, peladang, penternak dan nelayan dengan membela, membimbing dan memperkasakan golongan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata golongan berkenaan merupakan tunjang sekuriti makanan negara dan memainkan peranan penting dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat serta makanan negara.

“Saya menegaskan keperluan sinergi yang kukuh antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memberi tumpuan strategik kepada pembangunan sektor pertanian moden dan ekonomi biru demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,“ kata beliau dalam hantaran Facebook hari ini.

Anwar berkata sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) amat dekat di hati beliau kerana pernah diberi amanah menerajui portfolio Menteri Pertanian lebih empat dekad lepas.

“Pengalaman itu membentuk pemahaman yang mendalam tentang jerih perih dan ketabahan warga tani, peladang, penternak dan nelayan yang menjadi tunjang sekuriti makanan negara.

“Di Kota Kinabalu, Sabah hari ini bagi bersama-sama menjayakan HPPNK 2025 yang turut menandakan ulang tahun ke-50 penganjuran acara ini,“ kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kerajaan akan terus memacu usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor agromakanan agar menjadi pemangkin kemajuan luar bandar, menjana kekayaan negara serta menjamin masa depan generasi akan datang.

“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan setiap dasar, program dan bantuan pertanian dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, menyantuni golongan peladang, penternak dan nelayan bukan sekadar sebagai penyumbang ekonomi, tetapi juga tulang belakang kekuatan negara sejak lima dekad lepas,” kata Perdana Menteri - BERNAMA