• 2025-10-17 12:02 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkenalkan pembaharuan dasar pelaburan dan perdagangan yang progresif bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan pelbagai pendekatan dan strategi dilaksanakan secara Whole-of-Government menerusi kementerian itu serta agensi-agensi di bawahnya.

Antaranya termasuk memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu bagi memperkukuhkan ekosistem rantaian bekalan antara syarikat tempatan dan syarikat multinasional.

Hasilnya Malaysia telah merekodkan prestasi pelaburan langsung asing yang menggalakkan pada separuh pertama tahun 2025 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM17.2 billion.

Angka tersebut adalah lebih tinggi berbanding RM14.8 bilion yang direkodkan pada separuh pertama tahun 2024.

Kelebihan Malaysia daripada aspek asas ekonomi yang kukuh dan kedudukan strategik telah memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani krisis global.

Asas yang kukuh ini membolehkan Malaysia terus merekodkan lebihan akaun semasa imbangan pembayaran.

Pada separuh pertama 2025 Malaysia merekodkan lebihan akaun semasa sebanyak RM17 bilion.

Angka ini lebih tinggi berbanding RM13 bilion yang direkodkan pada tempoh sama pada 2024.

Walaupun lebihan akaun semasa pada suku kedua 2025 telah menyusut kepada 0.3 bilion disebabkan peningkatan import barangan modal dan barangan perantaraan.

Import bagi kedua-dua komponen barangan itu akan dapat menyumbang kepada kesan limpahan kepada eksport Malaysia dalam jangka masa pendek dan sederhana.

Kementerian itu menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung usaha kerajaan dalam memulihkan daya saing eksport serta keyakinan pelabur. – Bernama