SEREMBAN: Seorang kerani syarikat pelancongan di ibu negara direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes didakwa mengemukakan butiran palsu berkaitan tuntutan bayaran kad kredit syarikat.
Jumlah yang terlibat mencecah RM55,000 bagi tempahan hotel yang didakwa untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.
Wanita berusia 20 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024.
“Suspek disyaki mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat dengan butiran palsu bagi tempahan hotel yang didakwa untuk urusan rasmi syarikat tetapi sebenarnya untuk kegunaan peribadi,“ menurut sumber terlibat.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, mengesahkan penahanan tersebut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama