• 2025-07-27 02:59 PM

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan atlet dan pegawai di Sukan SEA 2025 di Thailand tidak terjejas walaupun berlaku ketegangan hubungan antara negara tuan rumah dengan Kemboja.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, meskipun situasi semasa mencetuskan kebimbangan, beliau yakin penyelesaian konflik akan ditemui sebelum temasya dwitahunan itu bermula pada Disember ini.

“Setakat ini belum ada keputusan daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan apa yang kita perlukan ialah untuk bertenang kerana kita pun tahu bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha membantu menyelesaikan krisis ini,“ katanya.

Beliau mengulas selepas menghadiri Piala Perdana Menteri CSI1, kejohanan kelayakan atlet ekuestrian untuk Sukan SEA 2025.

Mohamad Norza menambah, persiapan kontinjen Malaysia melibatkan semua sukan terus berjalan lancar dengan pemilihan atlet sedang giat dijalankan.

“Saya telah berhubung dengan mereka (persatuan sukan) dan harap bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin supaya semua dapat terus menumpukan persediaan ke Sukan SEA,“ jelasnya.

Laporan media sebelum ini menyatakan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran di kawasan pertikaian sempadan, dengan kedua-dua negara saling mendakwa pihak lawan sebagai pencetus konflik - Bernama