PUTRAJAYA: Tan Sri Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara sementara berkuat kuasa serta-merta. Pelantikan ini dibuat susulan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada semalam.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, pelantikan ini selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 9(1)(b) serta Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,“ menurut kenyataan itu.
Hasnah yang sebelum ini bersara wajib pada usia 66 tahun pada 15 Mei lepas telah disambung perkhidmatannya selama enam bulan sehingga 14 November ini. Pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara sementara adalah langkah sementara sehingga jawatan itu diisi secara tetap.
Tengku Maimun Tuan Mat merupakan wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara. Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.