KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang baharu dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) berazam untuk mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan, terutama dalam menangani isu jenayah rentas sempadan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi terkini.
Beliau berharap langkah itu akan dapat membawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah yang lebih cemerlang, selari dengan perubahan pemodenan pasukan itu, terutama yang melibatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Untuk kita melaksanakan tugas kepolisan pada masa yang akan datang, pelaksanaan dan penggunaan AI menjadi isu yang saya rasa perlu diketengahkan, supaya pasukan kita lebih maju pada masa yang akan datang dan dapat menangani apa juga ancaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya majlis Paluan Berundur KPN di Pulapol Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Mohd Khalid dilantik sebagai KPN ke-15 berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Razarudin, pada majlis Serah Terima Tugas, disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai kanan PDRM.
Sementara itu, Mohd Khalid menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kerana memperkenankan pelantikannya sebagai KPN ke-15, dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang tanggungjawab itu.
“Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri yang sentiasa memimpin pasukan PDRM menuju ke arah yang lebih cemerlang.
“Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada KPN ke-14,” katanya.