KUALA LUMPUR: Kilang kenderaan elektrik (EV) Proton Holdings Bhd dijangka memulakan operasi pengeluaran mulai September ini di Tanjung Malim, Perak.
Proton melaporkan pembinaan infrastruktur bangunan kini mencapai 90.4% siap manakala pemasangan peralatan berada pada tahap 83.5%.
“Kemajuan keseluruhan projek kini mencatatkan 86.9% dengan pengeluaran pertama bakal menampilkan Proton e.MAS 7,” menurut kenyataan syarikat.
Model e.MAS 7 akan menjadi EV pertama buatan Proton diikuti e.MAS 5 yang sedang dipamerkan dalam jelajah seluruh negara.
Kilang ini dibina dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun dan berpotensi dikembangkan sehingga 45,000 unit mengikut permintaan pasaran.
“Sebanyak 30 pekerja bukan eksekutif telah diambil untuk latihan sebagai kakitangan utama sebelum pengeluaran berskala penuh bermula,” jelas Proton.
Projek ini dijangka mencipta lebih 200 peluang pekerjaan baharu khususnya dalam bidang EV dan perkhidmatan teknikal untuk komuniti setempat.
Rakan kongsi Geely menyediakan bimbingan teknikal termasuk pemilihan peralatan, pemasangan sistem dan latihan kakitangan di luar negara.
Ketua Kejuruteraan Pembuatan Proton Wan Yousry Mohamed menyifatkan kilang ini sebagai lambang transformasi syarikat ke arah teknologi mampan.
“Kami meletakkan asas untuk kepimpinan Malaysia dalam industri EV serantau dengan pelan perluasan ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Kilang ini akan beroperasi menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) untuk pengeluaran pelbagai model EV pada masa depan. – Bernama