TAIPING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan penyimpanan diesel haram di sebuah bengkel di Simpang, Taiping.
Serbuan itu dilakukan pada 1.20 pagi semalam menerusi Operasi Tiris 2025.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pasukannya menemui 36,000 liter cecair disyaki diesel dalam tangki intermediate bulk container (IBC) dan skid tank.
Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori gagal mengemukakan dokumen kebenaran menyimpan barang kawalan.
“Tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki diesel, dua lori, sebuah skid tank dan 22 tangki IBC berserta pam,“ kata Kamalludin.
Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM292,840 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, sindiket ini memperoleh diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori tidak amanah yang mencuri diesel syarikat tempat mereka bekerja.
Diesel dibeli sindiket pada harga RM2.15 seliter sebelum dijual semula kepada industri di pasaran gelap dengan harga RM2.45 seliter. - Bernama