KUALA LUMPUR: Aplikasi PriceCatcher akan terus ditambah baik dengan memperkukuhkan perkongsian data harga barangan menerusi kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan dua pasar raya, Mydin dan Redtick.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata komitmen perkongsian data harga itu adalah inisiatif yang menggambarkan ketelusan urus niaga dan etika perniagaan yang tidak mengambil kesempatan melalui amalan sorok harga terhadap pengguna.

“Sebelum ini paparan harga dalam aplikasi PriceCatcher diperoleh sepenuhnya melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lapangan dan ia menyebabkan data yang diperoleh untuk dimuat naik ke dalam aplikasi terhad dari aspek liputan kawasan serta bilangan premis terlibat.

“Melalui pemeteraian MoU ( memorandum persefahaman) ini, ia menjadi usaha rintis untuk menambah baik aplikasi melalui perkongsian data secara automasi oleh pasar raya terlibat untuk dipaparkan dalam ruangan ‘Perkongsian Harga Pasar Raya’,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tandatangan MoU Perkongsian Data Harga antara KPDN bersama dua pasar raya berkenaan di Subang Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Armizan berkata perkongsian data harga tersebut akan menjadi penanda aras untuk diperluaskan ke pasar raya dan premis yang lain.

Beliau berkata aplikasi PriceCatcher sebelum ini memaparkan maklumat harga bagi 480 barangan keperluan pengguna yang dikemas kini secara harian melibatkan 186 item, mingguan (220 item) dan bulanan (74 item).

“Hingga 7 Nov lepas, aplikasi ini telah dimuat turun oleh 459,998 pengguna seluruh negara namun dari segi penggunaan aktif hanya pada kadar 10,000 seminggu.

“Kita mengambil pendekatan tambahan dengan memperbanyakkan maklumat dalam aplikasi itu tanpa menambah jumlah pegawai pemantau harga menerusi ‘self-reporting’ secara sukarela ataupun perkongsian data yang dibuat oleh pemain sektor peruncit,” katanya.

Armizan berkata aplikasi itu akan menjadi rujukan pengguna sejajar dengan agenda untuk menyemai budaya semak baru beli.