KUALA LUMPUR: Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Beliau menegaskan komitmen untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus demi keadilan.
“Kita (KPM) menyerahkan sepenuhnya dan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadi, untuk isu ini semua soal dalam aspek memberikan bantuan dalam siasatan, kita beri tumpuan penuh... kita juga perlu berlaku adil dengan memastikan kesejahteraan warga sekolah,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat.
Zara Qairina, 13 tahun, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu. Pelajar itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Fadhlina turut menyentuh pindaan Akta Pendidikan 1996 yang diluluskan Dewan Rakyat, bertujuan mewajibkan pendidikan menengah dan meningkatkan tanggungjawab ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.
“Kita telah menyelaraskan bantuan di peringkat KPM untuk memastikan anak-anak kita ini mendapat bantuan yang sewajarnya baik dari segi soal biasiswa dan soal yang terkait rapat dengan bantuan persekolahan lain seperti uniform dan sebagainya,” jelasnya - BERNAMA