PUTRAJAYA: Laporan siasatan awal kes kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak akan dibentang kepada Jemaah Menteri minggu depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Bercakap dalam sidang media di sini hari ini beliau berkata laporan oleh pasukan petugas khas itu akan dibentangkan bagi mendapatkan pandangan daripada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.
Pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi menyiasat insiden kemalangan maut pada 13 Mei lepas, dan ia dianggotai oleh pakar serta wakil agensi utama yang berkaitan, dengan Ketua Inspektor Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan Brig Jen Tan Chee Kee sebagai pengerusi.
Dalam kejadian 13 Mei itu, sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 8.50 pagi, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.