KUALA LUMPUR: Lawatan negara Presiden China Xi Jinping adalah simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia dan China yang terjalin sejak sekian lama, dan keakraban ini terus utuh serta diperkukuh atas sikap kepercayaan, hormat dan kejujuran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam dunia kian mencabar, China tampil sebagai rakan yang rasional, stabil serta berprinsip dan Malaysia menghargai kestabilan itu dan akan terus menjadi sahabat berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan.
“Pepatah Melayu menyebut, air dicincang tidak akan putus. Begitu juga ikatan antara Malaysia dan China yang diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai.
“Moga persahabatan Malaysia-China terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit, dan segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.
Anwar berkata di saat dunia menyaksikan perubahan landskap geopolitik dan beberapa pihak meninggalkan prinsip tanggungjawab kolektif, inisiatif global yang diketengahkan oleh China membuka ruang baharu untuk pembaharuan dan kerjasama.
Perdana Menteri turut mengulangi rasa hormat dan penghargaan atas kepimpinan Xi yang lantang membicarakan soal prinsip perkongsian kemakmuran dan mengangkat nilai ketamadunan serta kemanusiaan sejagat.
“Prinsip dan pendirian Presiden Xi nyata berbeza dengan sikap segelintir negara yang mula meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab, menghalakan keutamaan untuk mengasah perseteruan dan mempersenjatakan ekonomi,” katanya.
Presiden Xi memulakan lawatan negara ke Malaysia pada Selasa lepas atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Semalam Xi diberi sambutan negara, diikuti dengan sesi menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara dan menghadiri jamuan negara bersama Seri Paduka Baginda.
Presiden China dan delegasinya berlepas ke Kemboja hari ini selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.