SANDAKAN: Seramai 11,839 peserta terdiri daripada murid, guru dan ibu bapa telah menyertai Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan di 53 buah sekolah di seluruh negara setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menurut Teo, kempen itu digerakkan sejak Januari lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi pendidikan serta agensi berkaitan, bagi memperkasa literasi digital dan membudayakan keselamatan siber yang lebih selamat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata Kempen Internet Selamat menyasarkan liputan di lebih 10,000 institusi pendidikan menjelang akhir tahun ini dengan memberi empat fokus utama merangkumi buli siber, penipuan dan judi dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak serta perlindungan data dan literasi digital.
“Bagi tempoh Mei hingga Ogos, Kempen Internet Selamat disasar dilaksanakan di 344 sekolah seluruh negara dengan 64 daripadanya di Sabah. Setakat ini, sambutan baik dan kita nak melaksanakan kempen ini secara interakatif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Internet Selamat di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew di sini hari ini.
Seramai 120 murid Tahun Empat hingga Tahun Enam sekolah rendah itu menyertai kempen tersebut.
Teo berkata kerjasama dengan Kementerian Pendidikan juga sangat bagus untuk menjayakan kempen itu melihat impaknya dalam memberi kefahaman mengenai keselamatan siber kepada murid sekolah.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru semua pihak agar berganding bahu membudayakan persekitaran digital yang selamat, sihat dan positif, antaranya melalui penyertaan dalam modul kesedaran, ceramah dan aktiviti kempen yang dapat memperkasa masyarakat dalam menghadapi ancaman siber.
“Kita tidak boleh nafikan bahawa kanak-kanak pada hari ini ada akses kepada peralatan komunikasi dan internet. Justeru, golongan ibu bapa khususnya perlu memikul tanggungjawab memantau penggunaan internet anak-anak mereka.
“Kita perlu meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat terutama kanak-kanak mengenai literasi digital supaya mereka faham tidak boleh berkongsi gambar dan maklumat data peribadi di internet. Mereka perlu dididik tentang kaedah terbaik menggunakan internet dan risikonya.
Menurut Teo, Kempen Internet Selamat juga wajar dijadikan sebagai satu gerakan nasional dan bukan sekadar kempen bermusim demi melahirkan generasi yang lebih bijak serta beretika dalam penggunaan internet.