MACHANG: Seorang lelaki berusia 39 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki membunuh bapanya menggunakan objek tumpul di sebuah rumah di Kampung Baru Kuala Gris, Dabong, di Kuala Krai semalam.
Perintah reman hingga 13 Ogos itu dikeluarkan Majistret Amal Razim Alias bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki warga emas Othman Jusoh, 74, ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang dapur rumahnya dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala menyebabkan kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan mendapati dia juga bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai yang dibebaskan pada awal Julai lepas atas kesalahan dadah - BERNAMA