• 2025-07-16 04:29 PM

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan disyaki cuba menyeludup 500 liter petrol bersubsidi ke negara jiran dalam operasi khas di Simpang 4 Cherang, Kota Bharu.

Kejadian berlaku pada Isnin lepas selepas penguat kuasa mengesan kenderaan mencurigakan di sebuah stesen minyak.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan Azman Ismail, lelaki itu cuba melarikan diri tetapi kenderaannya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum berjaya ditahan.

Pemeriksaan mendapati 20 tong jerry can berisi petrol serta peralatan pam elektrik untuk pemindahan minyak secara haram.

“Lelaki itu mengaku petrol itu miliknya dan dirancang diseludup ke negara jiran melalui laluan sungai,“ kata Azman.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Operasi itu dijalankan secara bersepadu dengan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor. – Bernama