SEPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan malam tadi selepas disyaki cuba menyeludup keluar enam ekor haiwan eksotik bernilai RM73,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Lelaki itu dalam perjalanan ke India ketika ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
“Bertindak atas maklumat diterima, dua anggota AKPS KLIA bersama tiga anggota AVSEC telah menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap bagasi penumpang, selepas pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan menyerupai hidupan liar di dalam bagasi berkenaan,“ menurut kenyataan rasmi.
Pemeriksaan menemui enam ekor haiwan eksotik, termasuk dua ekor Lotong Kelabu, dua ekor Siamang, dan dua ekor Armadillo.
Kesemua spesies ini dipercayai dilindungi di bawah undang-undang tempatan dan antarabangsa.
Kes ini disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
Haiwan-haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Operasi ini menegaskan komitmen pihak berkuasa dalam memerangi perdagangan haram hidupan liar, terutamanya spesies terancam yang dilindungi. – Bernama