• 2025-07-23 03:18 PM

SANDAKAN: Lima individu termasuk jurutera dan penolong jurutera pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan RM200,000.

Perintah reman sehingga 29 Julai dikeluarkan oleh Majistret Yong Ching Hong selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 50-an.

Mereka dipercayai menerima wang suapan melalui pindahan bank daripada kontraktor yang menjalankan projek di kawasan PBT. “Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu mendapatkan sebut harga dan tender dari 2022 hingga 2025,“ kata sumber.

Kesemua suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah semalam ketika memberi keterangan. Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, mengesahkan penahanan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama