• 2025-10-15 01:31 PM

KUALA LUMPUR: Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Ogos lepas kerana disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup telah dikecualikan daripada sebarang operasi.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata mereka kini ditempatkan di markas pentadbiran masing-masing sementara siasatan kes itu dijalankan oleh ATM bersama pihak berkuasa.

“Kita tegas dalam siasatan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan sewajarnya, jika didapati bersalah, tindakan undang-undang akan diambil kerana keutamaan kita ialah integriti namun sekiranya tidak, mereka akan dipulangkan kepada operasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor mengenai langkah kawalan kerosakan yang diambil oleh Kementerian Pertahanan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat ekoran pendedahan media tentang penjualan maklumat keselamatan taktikal negara oleh lima pegawai ATM kepada pihak luar.

Adly berkata kementerian berkenaan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan kes itu ditangani dengan sebaiknya selain menjalankan siasatan dalaman berhubung isu kebocoran maklumat seperti yang didakwa berlaku.

“Dari sudut pemulihan keyakinan rakyat, kementerian melalui ATM menekankan aspek kesedaran keselamatan dan pematuhan prosedur termasuk memperkukuh unit integriti di setiap formasi serta perkhidmatan selain mempergiat program didikan keselamatan, etika dan integriti bagi warga ATM,” katanya.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata sebahagian anggota ATM yang ditahan di sekitar Lembah Klang dalam operasi khas oleh SPRM pada Ogos kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor, merupakan anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia. – Bernama