GUA MUSANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan hari ini menahan sembilan kenderaan berat kerana didapati membawa muatan melebihi had ditetapkan, menerusi Op Timber di Stesen Penguatkuasa (SPK) Mentara di sini.
Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata tiga lori balak dan enam lori kargo itu ditahan selepas pihaknya menjalankan risikan sejak 22 Sept lepas berdasarkan aduan diterima berkenaan pergerakan kenderaan berat terbabit pada waktu puncak.
“Penguatkuasaan secara rondaan serta risikan telah dilakukan di Kuala Betis sejak laporan diterima dan hari ini saya sendiri mengetuai pasukan bersama 17 anggota lain menjalankan Op Timber.
“Hasilnya sebuah kenderaan disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana membawa muatan sebanyak 75.58 peratus. Kenderaan ini dilucut hak dengan kuasa mahkamah di bawah akta yang sama,“ katanya kepada pemberita di SPK Mentara di sini hari ini.
Mohd Misuari berkata lapan lagi kenderaan disita kerana melebihi muatan sebanyak 35 peratus dan akan didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Kaedah-kaedah pembinaan dan Penggunaan (C&U) 1959.