• 2025-08-23 06:48 PM

KUALA LUMPUR: Pasukan ProTeam Sepanyol, Equipo Kern Pharma akan mengisi kekosongan ditinggalkan pasukan berstatus WorldTeam dari Perancis, Cofidis yang menarik diri daripada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bulan depan.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL25 Emir Abdul Jalal yang memaklumkan Cofidis telah menghubungi pihak penganjur untuk menarik diri Khamis lepas.

“Walaupun sedikit terkilan kerana kita kekurangan sebuah pasukan berstatus WorldTeam kali ini, kita tetap yakin kemeriahan persaingan LTdL 2025 tidak terjejas kerana Kern Pharma juga adalah sebuah pasukan yang hebat.

“Disebabkan kesuntukan masa, kita tidak berkesempatan untuk melobi pasukan WorldTeam lain sebagai pengganti dan Kern Pharma yang berada dalam senarai empat pasukan terpaksa diketepikan sebelum ini, memberi respons pantas dan menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai LTdL 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan Equipo Kern Pharma sebelum ini membuat penampilan sulung dalam LTdL bagi edisi 2023 dan menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam senarai pasukan terbaik sebelum tampil lebih bertenaga dengan muncul juara kategori sama tahun lepas.

LTdL 2025 yang dijadual berlangsung dari 28 Sept hingga 5 Okt ini akan meliputi 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer membabitkan 22 pasukan, termasuk tiga WorldTeam, lapan ProTeam, 10 Benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.

Perlumbaan bermula di Pulau Langkawi sejauh 96.5 km diikuti Padang Besar-Kepala Batas (170.1 km), Gerik-Pasir Puteh (198.2 km), Kuala Terengganu-Kemaman (140.8 km), Temerloh-Bukit Fraser (133.7 km), Shah Alam-Port Dickson (123.4 km), Melaka-Medini (214.6 km) dan Tangkak-Kuala Lumpur (180.5 km)- BERNAMA