• 2025-07-16 08:54 PM

WELLINGTON: Malaysia dan New Zealand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam industri halal global melalui beberapa langkah strategik termasuk penyelarasan piawaian pensijilan, usaha penyelidikan bersama, dan penambahbaikan kerangka jaminan halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang dalam lawatan kerja lima hari ke New Zealand, menyatakan bahawa kerjasama ini penting bagi mengekalkan integriti dan kebolehpasaran produk halal di peringkat antarabangsa.

“Forum ini amat signifikan kerana ia membolehkan kedua-dua negara meneroka peluang baharu untuk memperkukuh ekosistem halal melalui pendekatan yang inklusif dan saling melengkapi,” katanya semasa Forum Halal dan Majlis Minum Petang bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand Andrew Hoggard.

Majlis yang diadakan di Perpustakaan Negara New Zealand itu turut dihadiri wakil kanan industri dan agensi kerajaan dari kedua-dua negara.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia (MPIH), menekankan komitmen Malaysia untuk menyertai Fieldays 2025, pameran pertanian terbesar di Hemisfera Selatan.

Beliau turut menghargai peranan dua badan pensijilan halal di New Zealand iaitu Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) dan Amanah Pembangunan Islam New Zealand (NZIDT) dalam memastikan pematuhan piawaian halal.

“Kerjasama ini lebih daripada sekadar penyelarasan teknikal. Ia melambangkan penghormatan bersama terhadap nilai agama dan budaya dalam ekosistem perdagangan global,” katanya.

Malaysia turut menjemput penyertaan syarikat dan agensi New Zealand dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) akan datang bagi meningkatkan perdagangan dua hala.

Sementara itu, Hoggard menyatakan bahawa Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi eksport daging halal New Zealand yang melebihi NZ\$60 juta tahun lepas.

“Malaysia sedang memudahkan proses kelulusan bagi beberapa premis daging halal di New Zealand yang sedang memohon akses pasaran buat kali pertama. Ini adalah langkah penting untuk memperluaskan eksport halal kami,” katanya.

Dengan populasi melebihi 35 juta orang, Hoggard melihat potensi pertumbuhan yang kukuh dalam pasaran Malaysia.

Beliau turut menekankan komitmen New Zealand dalam menyampaikan produk halal berkualiti tinggi ke pasaran utama ini. – Bernama