TEHRAN: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian sekali lagi menegaskan sokongan teguh negara masing-masing terhadap rakyat Palestin, sambil menekankan keperluan mendesak bagi negara-negara Islam untuk berganding bahu demi keamanan, kestabilan dan keadilan.

Dalam perbualan telefon sempena sambutan Aidiladha pada Khamis, Anwar memuji pendirian tegas Iran dalam mempertahankan perjuangan Palestin serta mengecam keras kekejaman berterusan rejim Zionis, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Beliau berkata Malaysia tidak akan berkompromi dalam menyokong inisiatif menamatkan keganasan di Gaza serta mengembalikan keamanan dan keselamatan kepada penduduknya, sambil menegaskan komitmen Kuala Lumpur untuk terus memperjuangkan hak golongan tertindas di persada antarabangsa.

Sementara itu, Pezeshkian menekankan kepentingan rohani sambutan Aidiladha sebagai peluang untuk memperkukuh ukhuwah antara negara-negara Islam.

Beliau menyeru kerajaan-kerajaan Islam memikul tanggungjawab bersama untuk membela nasib umat yang tertindas di seluruh dunia Islam, sambil mendesak agar isu penderitaan rakyat Gaza lebih lantang diangkat di forum-forum antarabangsa, menyifatkan situasi di sana sebagai antara krisis kemanusiaan paling kejam dalam sejarah kontemporari.

Kedua-dua pemimpin juga berikrar untuk terus memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama demi kepentingan umat Islam sejagat.