KUALA LUMPUR: Malaysia kekal teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran global dan terus memainkan peranan sebagai pemangkin serta peneraju diplomasi serantau menerusi kepengerusian ASEAN 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata meskipun dunia sedang dirundung pelbagai cabaran, termasuk ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan, Malaysia kekal terpasak dengan kukuh.
“Malaysia menjadi antara negara yang terawal dan tangkas bertindak melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.
“Langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh dan terangkum, dengan penglibatan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi dan daya saing negara terus terpelihara,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.