ROM: Malaysia menegaskan komitmennya terhadap prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai asas pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa dalam persekitaran global yang semakin mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa penting untuk kemakmuran ekonomi serta peluang kerjasama rentas sempadan.
Anwar berkata perkara itu ditekankan semasa beliau dan Timbalan Perdana Menteri Itali, Antonio Tajani, mempengerusikan Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali. Lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara terlibat dalam sesi tersebut, merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, dan perdagangan.
“Sesi ini mencerminkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan dagang dan membuka peluang pelaburan strategik antara Malaysia dan Itali,“ kata Anwar. Beliau menambah bahawa pertemuan itu turut meningkatkan keyakinan pelabur Itali terhadap dasar keterbukaan dan daya saing ekonomi Malaysia.
Kerjasama dua hala dilihat berpotensi tinggi dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, teknologi hijau, pertahanan, ekonomi digital, aeroangkasa, dan industri berteknologi tinggi. “Bidang-bidang ini merupakan tonggak utama dalam agenda reformasi ekonomi negara,“ jelas Anwar.
Lawatan rasmi beliau ke Itali selama tiga hari ini atas jemputan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.