WELLINGTON: Malaysia bersedia menjadi hab utama pengedaran produk halal dari New Zealand ke pasaran ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Langkah ini selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem halal serantau dan global.
Dua organisasi halal di New Zealand telah menerima pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), membuka peluang lebih luas untuk eksport produk halal rantau itu.
“Kami menjemput industri halal New Zealand menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Disember ini.
“Pada masa itu, kita akan umumkan penubuhan Majlis Halal ASEAN dan ASEAN Campur Tiga bagi menyelaras piawaian pensijilan halal serantau,“ kata Ahmad Zahid selepas Forum Halal dan Minum Teh Bersama Menteri Biosekuriti dan Keselamatan Makanan New Zealand Andrew Hoggard.
Beliau menekankan pentingnya kerjasama ini bagi menyokong pertumbuhan pasaran halal global yang dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2050.
Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya lima peratus pegangan pasaran dunia.
Industri halal tidak terhad kepada makanan dan minuman sahaja, sebaliknya merangkumi kosmetik, farmaseutikal, perbankan Islam, insurans, vaksin, gelatin dan banyak lagi.
“Halal bukan hanya untuk umat Islam, ia simbol kebersihan, kualiti dan kesihatan yang diterima universal,“ jelasnya.
Halal Development Corporation (HDC) akan cadangkan penubuhan Suruhanjaya Pembangunan Halal Malaysia sebagai pelengkap Majlis Halal ASEAN.
Pengaktifan semula Majlis Halal Dunia juga sedang diusahakan bersama negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Ahmad Zahid menambah, syarat ketat pensijilan halal tidak lagi menjadi halangan kepada syarikat New Zealand kerana JAKIM telah memberi kuasa kepada dua organisasi halal di sana.
“Namun, audit berkala akan diadakan bagi memastikan piawaian dipatuhi,“ tegasnya.
Tahun lalu, eksport New Zealand ke Malaysia mencecah NZD60 juta (RM151 juta), terutama produk daging halal premium.
Forum itu turut menyaksikan pertukaran Surat Hasrat antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan University of Canterbury (UC) bagi kerjasama dalam kejuruteraan kimia, teknologi makanan halal dan pembangunan lestari. – Bernama