KUALA LUMPUR: Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan delegasi peringkat tinggi dari Australia, Pakistan, Republik Türkiye dan Palestin baru-baru ini menggariskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh jalinan perdagangan dan pelaburan dengan rakan-rakan strategik dari pelbagai benua.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perbincangan merangkumi pelbagai inisiatif strategik termasuk semakan semula perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA).
Selain itu, katanya pengembangan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Türkiye (MTFTA) kepada sektor perkhidmatan dan pelaburan serta sokongan berterusan terhadap ekonomi Palestin.
“Kami juga menggalakkan penyertaan aktif kesemua negara ini dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025, platform halal terbesar dunia serta meneroka peluang dalam sektor berteknologi tinggi dan mampan seperti tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan industri halal.
“Matlamat kita jelas: memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan membawa kemakmuran bersama,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini- BERNAMA