IPOH: Kerajaan negeri tidak berhak ke atas bangunan Movie Animation Park Studio (MAPS) di Bandar Meru Raya, yang kini berada di bawah syarikat pembubar (liquidator), kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Kita bukan membisu, MAPS bukan lagi milik kerajaan negeri, saya tak boleh sentuh harta orang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila mengulas laporan media mengenai Ketua Pembangkang Perak yang juga ADUN Semanggol Razman Zakaria, yang menyatakan Kerajaan Negeri Perak sehingga kini masih membisu berkenaan tindakan perobohan bangunan MAPS itu.

Terdahulu tular di media sosial video yang memaparkan bangunan tersebut kini dalam proses perobohan.

Sebelum ini dilaporkan taman tema animasi yang dibina pada 2015 di kawasan seluas 21 hektar bernilai RM520 juta mengalami kerugian sehingga terpaksa ditutup pada tahun 2020, dan Saarani dilaporkan berkata projek itu dibiayai PCB Development Sdn. Bhd. (PCBD) iaitu anak syarikat kepada PCB yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau dilaporkan berkata walaupun Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mempunyai pegangan 56 peratus dalam PCB, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan untuk melabur dan tidak terikat dengan jaminan dengan mana-mana institusi kewangan.