• 2025-08-08 09:10 PM

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menyerahkan enam kru kapal warga Indonesia yang hanyut ke perairan negara kepada wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata penyerahan itu dilakukan sebagai menghormati hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Kesemua kru berusia 17 hingga 52 tahun itu ditahan oleh kapal KM Burau dalam operasi penguatkuasaan selepas vesel nelayan asing dikesan di perairan Malaysia bulan lepas.

“Siasatan awal mendapati vesel itu mengalami kerosakan akibat cuaca buruk sebelum dihanyutkan arus ke perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hashim menegaskan komitmen Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau, terutamanya dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Beliau bersama Pegawai Memerintah KM Semilang, Leftenan Komander Maritim Mahadi Ismail, menyerahkan kru tersebut kepada Tentera Nasional Indonesia (TNI) Leftenan Komander Fuad Hilmi.

Majlis penyerahan berlangsung di Limbongan Batu Maung Sdn Bhd.

Fuad mewakili Republik Indonesia mengucapkan penghargaan atas kerjasama dan tindakan profesional Maritim Malaysia- BERNAMA