• 2025-07-14 10:03 AM

IPOH: Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat seorang lelaki di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat Tapah sebagai kes bunuh. Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Johari Yahya, berkata keputusan itu dibuat susulan hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurut beliau, punca kematian mangsa adalah akibat dipukul dengan objek tumpul. “Terdapat kesan lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa. Punca kematian adalah disebabkan multiple blunt trauma akibat dipukul dengan senjata tumpul,“ jelas Johari dalam kenyataan.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek yang terlibat. Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter di tepi jalan berkenaan. Beliau memakai kemeja-T dan seluar pendek berwarna hitam.

Johari meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222.